Kakak Imah dan adik Adham

Kakak Imah dan adik Adham
Kakak imah kakak sulung yang terbaik di dunia...Jaga adik baik-baik ye..

Zara berposing..

Zara berposing..
alhamdulillah comel muka anak ayah ni..Mudah2an jadi anak solehah

Sekeluarga di I-City

Sekeluarga di I-City
Kali pertama di I-City, semua port nak ambil gambar, baru naik bukit dah nak bergambar..

Tuesday, September 21, 2010

Khutbah Jumaat 17 Sept 2010

Alhamdulillah syukur minggu ini Ustaz beri peluang yang sangat besar untuk aku membacakan Khutbah untuk kali yang ke tiga. Sangat bersyukur dengan "rezeki" dan "peluang" yang diberikan untuk aku memperbaiki iman diri untuk menjadi lebih baik dari hari yang semalam..sekurang2nya aku sendiri yang membaca berulang2 kali teks khutbah dan mendalami pengisiannya sebelum disampaikan kepada jemaah Qaryah Surau Bandar Damansara Kuantan.

Walaupun menyedari hakikat yang diri ini tidak mampu sebenarnya melaksanakan sepenuhnya apa yang disampaikan melalui pembacaan teks Khutbah Jakim Online, sekurang2 nya aku menginsafi diri untuk cuba menjadi insan yang terbaik dalam menjaga ukhwah, memuliakan tetamu, beradab dengan adab Islam dalam berziarah dan bertetamu sebagaimana yang aku bacakan tempoh hari..

Sekadar mencoret sedikit buat meng"update" blog yang dah lama aku sendiri tak kunjungi. Antara pengisian khutbah yang aku sampaikan, Insyaallah buat tatapan bersama:

Firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat ayat 10:

Maksudnya : "Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara maka damaikanlah di antara dua saudara kamu itu; dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beroleh rahmat.

Berdasarkan ayat al-Quran dan amalan Rasulullah SAW, antara peraturan dan adab yang perlu
diberi perhatian oleh umat Islam ketika berziarah dan bertetamu ialah

Pertama:
Sebagai tetamu mestilah berniat baik di atas kunjungannya.

Kedua:
Jangan dibezakan antara orang kaya dan miskin ketika membuat jemputan.

Ketiga:
Hendaklah jangan ditolak sesuatu undangan hanya semata-mata berpuasa sunat, sebaliknya terimalah undangan dan hendaklah berbuka kerana untuk menimbulkan kegembiraan dipihak yang membuat undangan.

Keempat:
Hendaklah menolak undangan di mana makanan yang dihidangkan itu terdapat syubhat dan terdapat aktiviti munkar atau orang yang mengundang itu bersifat fasik, zalim atau suka membesar diri. Hadith Rasulullah SAW:

Maksudnya : "Janganlah engkau makan melainkan makanan orang yang bertakwa dan jangan pula makan makananmu itu melainkan yang membawa kepada takwa.(Riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi)

Kelima: Semasa berkunjung hendaklah memilih waktu yang sesuai. Janganlah berkunjung pada waktu awal pagi, tengah hari dan larut malam kerana kebiasaan pada waktu itu pihak tuan rumah ingin beristirahat atau membuat persiapan keperluan keluarga.

Keenam: Perlu memohon izin dan memberi salam sebelum memasuki rumah yang ingin dikunjungi.

Ketujuh: Selaku tetamu adalah sangat digalakkan agar berjabat tangan dengan tuan rumah sebagaimana dengan hadith Nabi SAW riwayat dari al Barra’ RA yang bermaksud “ Tidak ada dua orang muslim yang bertemu,lalu saling berjabat tangan, kecuali kedua-duanya diampuni Allah SWT sebelum berpisah”. Walaubagaimanapun amalan berjabat tangan ini mestilah dilakukan mengikut lunas-lunas Islam.

Kelapan: Sebagai tetamu juga tidak sepatutnya bebas melakukan apa sahaja di rumah orang lain kerana perbuatan itu akan mengganggu dan tidak disenangi oleh tuan rumah.

Kesembilan: Menjaga mata, jangan mencuri dengar atau mengintai tuan rumah, janganlah mengangkat suara semasa berada di dalam rumah dan jangan duduk lama ketika berziaarah.


Manakala bagi pihak tuan rumah, agama Islam turut menggariskan beberapa adab yang perlu dipelihara dan dihayati oleh tuan rumah antaranya dengan menghormati dan memuliakan tetamunya. Dalam masa yang sama,tuan rumah juga disarankan agar menghidangkan jamuan yang terbaik mengikut kadar kemampuan. Janganlah ada maksud untuk berbangga-bangga tetapi tujuannya adalah untuk merapatkan seluruh kawan serta memberikan kegembiraan dalam jiwa tetamu.

Satu lagi adab penting yang ada kaitan dengan ziarah ialah menjaga adab makan-minum. Adab-adab makan yang diajar oleh Rasulullah SAW ialah

Pertama: Memulakan makan dengan membaca Bismillah.

Kedua: Mengakhiri makan dengan bacaan Alhamdulillah.

Ketiga: Makan dengan menggunakan tiga jari kanan

Keempat: Menjilat jari jemari sebelum mencuci tangan

Kelima: Tidak meniup makanan yang masih panas,

Keenam: Menghindari diri dari kenyang yang melampau batas.

Ketujuh: Memulakan makan dengan mengambil makanan yang dekat dengan kita.

Kelapan: Sewaktu makan, janganlah berdiam diri sahaja, tetapi bolehlah bercakap perkara yang baik-baik.

Jazakallah.